Berita Harian - Sime Darby Oils, UKM buat ujian klinikal rawatan hati

06 Apr 2020 12:49 AM
Image


Sime Darby Oils, UKM buat ujian klinikal rawatan hati

PETALING JAYA: Sime Darby Oils (SDO) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan ujian klinikal komprehensif pertama dunia bagi rawatan hati berlemak menggunakan Tocotrienols.


Tocotrienols adalah sumber antioksidan dalam keluarga vitamin E dari minyak sawit, yang boleh digunakan sebagai pendekatan terapeutik bagi rawatan Penyakit Hati Berlemak Tanpa Alkohol (NAFLD).


Pengarah Urusan SDO, Mohd Haris Mohd Arshad, berkata kerjasama itu berpotensi membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua organisasi itu pada masa akan datang.


Beliau berkata, langkah itu juga boleh menjadi pemangkin bagi SDO untuk melaksanakan penyelidikan lanjut mengenai isu kesihatan manusia sejajar dengan hasrat syarikat untuk mempelbagaikan aktiviti dan peluang perniagaan perladangan hilirannya.


Katanya, kerjasama itu adalah selama dua tahun dan ujian klinikal akan bermula pada bulan ini, yang mana keputusan awalnya dijangka dapat dilihat dalam tempoh enam bulan sebelum disusuli penerbitan penuh hasil kajian pada 2021.


“Kerjasama ini memperkukuhkan matlamat kami untuk menawarkan dakwaan kebaikan produk berasaskan bukti kajian, khususnya dalam perniagaan pemakanan.


“Ia juga sejajar dengan aspirasi kami untuk menceburi bidang nutraseutikal pada masa akan datang,” katanya pada majlis memeterai perjanjian antara SDO dan UKM di sini, hari ini.


Mengulas mengenai NAFLD, Dekan Fakulti Perubatan UKM dan Profesor Perubatan, Profesor Dr Raja Affendi Raja Ali, yang juga penyelidik utama bagi ujian klinikal itu berkata, kadar sebaran penyakit NAFLD di Malaysia dianggarkan kira-kira 15 hingga 30 peratus daripada jumlah penduduk dewasa.


Beliau berkata, unjuran itu berdasarkan kepada kadar sebaran tinggi bagi penyakit sindrom metabolik yang lain dalam kalangan penduduk Malaysia yang selalunya dikaitkan dengan NAFLD, seperti paras gula tinggi dalam darah, hipertensi dan obesiti.


Katanya, lazimnya, NAFLD di peringkat awal tidak mendatangkan mudarat, tetapi jika tidak dirawat ia boleh mengakibatkan kerosakan hati yang serius dalam jangka masa panjang seperti penyakit sirosis, yang mana hati tidak berfungsi dengan baik.



Sumber : https://www.koolfm.com.my/sime-darby-oils-ukm-buat-ujian-klinikal-rawatan-hati/


Contact us

  +603 7848 4000 
  natrieo@simedarbyoils.com 
   Level 3, Block C, Plantation Tower  No.2 Jalan PJU 1A/7 Ara Damansara,  47301 Petaling Jaya  Selangor D.E., Malaysia 
Policies Info

Terms Conditions
Policy For Buyers
Shipping and Returns
Disclaimers
Subscribe Us

Sign up for our newsletter
        

halal
Copyright © NATRIÉO